Monday, September 9, 2013

Majlis Perkahwinan di Dewan Sri Siantan Sg. Tua, Selayang


TEAM kedua ASt yang dihantar untuk majlis ini terdiri daripada Salehuddin, Sharifuddin, Syawal, Mohd Akmal dan Danial. 'Koreografi' persembahan ini diserahkan pada Sharifuddin. Alhamdulillah segala berjalan lancar dan walaupun masih hijau, mereka berjaya melaksanakan tugasan yang diberikan dengan baik. Tahniah buat mereka dan sekalung terima kaseh buat perancang perkahwinan Encik Nizan yan sekali lagi memberi kepercayaan pada ASt menjayakan majlis ini.

Apa-apapun, tanpa ketua mereka yang terpaksa berpecah kerana terdapat dua majlis dalam satu masa, mereka sudah menunjukkan mereka boleh berdikari jika berlaku pertindihan jadual persembaan seperti ini. Untuk makluman, persembahan lain selain disini adalah di Taman Kantan Permai, Kajang, yang mana Cikgu Akmal mengetuai persembahan disana.





Sunday, September 8, 2013

Majlis Perkahwinan di Taman Kantan Permai Kajang


PADA hari yang sama ASt diundang untuk membuat persembahan silat di majlis perkahwinan. Satu di Taman Kantan Permai, Kajang dan satu lagi di Sungai Tua, Selayang. Oleh itu, ASt terpaksa berpecah pada 2 team. Sebagai ketua ASt tentulah berbelah bagi untuk memilih undangan yang mana patut saya pergi. Akhirnya dipilihnya ke Kajang. Bak pantun berbunyi, "...Kajang Pak Malau Kajang Berlipat, Kajang Hamba Mengkuang Layu, Dagang Hamba Dagang Bertempat, Dagang Membawa Adat Melayu..." Pilihan itu memang ada hikmahnya. Tidak disangka persembahan di Kajang 'sewaktu' dengan sahabat pasukan gamelan AGIM diketuai oleh Along (Fairuz).

Persembahan kali ini ASt menampilkan 3 orang pesilat iaitu Amirul, Zaid dan termasuk Akmal sendiri. Persembahan ini juga adalah atas undangan sahabat dari pasukan Kompang Zapin iaitu Abang Ghafar (pemukul drum). Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan layanan diterima cukup mesra dan beradab. Masakan majlis turut menarik perhatian kerana keenakan masakannya yang dibawa khas oleh Katering Angsana. Persembahan pada tengahari itu dimulakan dengan persembahan solo Amirul dengan langkah 3 dan langkah laksamana. Diikuti oleh Zaid dengan pecah 6 dan pecah 8 sarut. Persembahan solo diteruskan oleh Akmal dengan pecah 12 dan tari keris 1 dan 2. Persembahan diakhiri dengan tari lela sembah beramai-ramai sebagai tanda penutup persembahan.




Sunday, September 1, 2013

Majlis Perkahwinan di Taman Kayu Ara Indah, Damansara Utama, Petaling Jaya


TERIMA kaseh atas undangan ini buat Cik Farah yang mengundang ASt bagi terlibat dalam memeriahkan majlis perkahwinan adiknya. Peristiwanya bermula dalam undangan di FB oleh nama pena 'Ravishing Revere' untuk sahabat2 di FB. Ajakan itu disulami dengan gurauan tentang persembahan dua hari sebelum tarikh langsung majlis tersebut. Tak disangka adiknya berminat dan bersetuju bahawa persembahan silat dimasukkan dalam aturcara majlis dan memeriahkan majlis tersebut.

Persembahan kali ini diketuai oleh Cikgu Akmal, Sharifuddin dan Syawal. Cikgu Akmal membuka gelanggang selepas wakil tuan rumah membuat persembahan mula. Cikgu Akmal membuka persembahan solo seni tari dan pecah kuntau. Diikuti oleh persembahan berpasangan Sharifuddin dan Syawal dengan belebat tangan. Cikgu Akmal menyambung dengan tari keris dan pertarungan tangan kosong oleh Sharifuddin dan Syawal kembali. Penutup persembahan diakhiri dengan lela sembah kesemua pesilat.