Friday, September 19, 2014

Majlis Perasmian MRC International Carnival 2014 di Sunway Convention Centre

------------------
19 September 2014 - Untuk bulan ini, kali kedua ASt membuat di majlis rasmi selain dari majlis perkahwinan yang menjadi kebiasaan. Cuma persembahan kali boleh dikatakan sedikit besar acaranya yang diundang dalam keadaan 'last minutes'. Mana tidaknya, terima panggilan dan tempahan dua hari sebelum hari majlis yang memerlukan pesilat 8 ke 10 orang. Bukan untuk mendapatkan bilangan seramai itu tetapi kesukaran mengumpul mereka pada waktu kerja amatlah 'mengerikan' jika menerima permintaan tempahan pada saat-saat akhir.

Tambahan pula majlis tersebut berlangsung pada hari kerja dan berlangsung ditengah-tengah kepadatan manusia yang berkunjung ke Sunway yang pasti mengundang situasi 'jammed' yang menyukarkan kami tiba tepat pada masa yang ditetapkan. Namun begitu, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar walau ada sedikit kelewatan kerana kerja dan masalah kesesakan lalulintas yang menghalang perjalanan beberapa pesilat. Tiba masanya tanpa 'rehearsal' ASt bersedia membuat persembahan yang selama 3 atau 4 minit. Sebelum membuat persembahan lebih kurang 5 minit lagi, tiba-tiba pihak penganjur menyuruh kami memanjangkan pula bentuk persembahan.

Memang mengejutkan kerana kami tidak punyai masa untuk merancang lagi persembahan lebih dari 5 minit kerana telah bersedia dengan 'set-up' 4 minit persembahan. Namun berkat kesabaran dan tawakal, kami membuat juga persembahan seperti yang dikehendaki penganjur tidak kurang dari 10 minit. Alhamdulillah tanpa latihan dan hanya 'setting' melalui kata-kata, akhirnya ianya berjaya dilaksanakan dan kebetulan persembahan penuh memang berlangsung seperti masa yang dirancang iaitu 10 minit!